Selepas pelantikan Nafuzi Zain selaku jurulatih terbaru skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan dalam penstrukturan Harimau Malaya, Juan Torres Garrido bersama barisan kejurulatihan di bawah Pau Marti Vicente mengucapkan selamat tinggal kepada arena bola sepak Malaysia.

Terbaru, pengendali kelahiran Sepanyol itu diumumkan sebagai pembantu jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee yang sedang membimbing kelab Indonesia, Persis Solo, susulan meninggalkan Sabah tahun lalu.

Gandingan tersebut bakal menjadi detik perubahan buat Persis Solo memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga Indonesia.

Semalam, Sambernyawa turut menandatangani bekas pemain import Kedah Darul Aman (KDA), Cleylton Dos Santos, sebagai pertahanan buat pasukan itu menghadapi kancah liga.