Ketua jurulatih Indonesia yang baharu, Patrick Kluivert, percaya skuad Garuda memiliki budaya bola sepak yang luas serta semangat tinggi untuk mencapai kejayaan.

Bekas legenda Belanda, Patrick Kluivert, sah bertindak sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, menggantikan Shin Tae-yong.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Kluivert menandatangani kontrak dua tahun dan memiliki pilihan untuk melanjutkan tempoh pimpinannya kepada dua tahun tambahan.

"Perasaannya cukup mengagumkan. Luar biasa," kata Kluivert menerusi temubual bersama Fabrizio Romano.

"Semua orang mengetahui mereka memiliki budaya bola sepak yang sangat luas dan memiliki semangat tinggi dalam sukan bola sepak.

"Menjadi sebahagian daripada skuad Indonesia merupakan satu penghormatan dan tanggungjawab yang besar untuk memperkembangkan lagi bola sepak dan mahu mencapai kejayaan untuk pasukan ini.

"Misi utama adalah untuk layak ke Piala Dunia tahun depan. Saya percaya pasukan ini memiliki kemampuan, kualiti serta semangat untuk melayakkan diri.

"Kami memerlukan sokongan dari seluruh negara. Saya percaya bersama-sama kami mampu mencapai banyak kejayaan.

"Buat masa ini, kami dalam usaha untuk membentuk pasukan lagi. Perkara paling penting adalah bola sepak adalah acara berpasukan. Ia bukanlah hanya mengenai jurulatih dan pemain. Semua pihak memiliki peranan yang penting untuk mencapai destinasi yang hendak dituju iaitu Piala Dunia."