Kongres FAM: Ilmu yang saya ada takkan nak simpan? -- Pablo Dollah
Muzaffar Musa
Januari 8, 2025 19:25 MYT
Januari 8, 2025 19:25 MYT
Calon Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Dollah Salleh, menegaskan resumenya untuk bertanding jawatan itu agak menarik untuk dilihat.
Bagaimanapun, dia berasakan segalanya terserah kepada penilaian ahli gabungan badan induk itu untuk mempertimbangkan keupayaannya tanpa sebarang sikap 'pilih bulu' menjelang kongres pemilihan FAM bulan depan.
Dollah, yang terkenal dengan gelaran Pablo, mahu memanfaatkan pengalamannya sebagai bekas pemain kebangsaan dan bersedia memberikan cadangan khusus buat pemain negara sekiranya diperlukan memandangkan dia juga pernah bertindak sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
Sebagai seorang yang pernah bergelar pemain, penolong jurulatih, ketua jurulatih dan kini bertindak sebagai pengurus pasukan, Dollah yakin dia perlu ada sebagai watak penting dalam badan induk itu kerana dia lebih memahami keperluan seseorang pemain.
"Saya tidak akan simpan pengalaman yang saya ada, kalau pihak persatuan atau barisan kejurulatihan memerlukan apa-apa daripada pengalaman saya, sudah pasti saya akan memberikan khidmat terbaik buat mereka," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Pilihan mereka (ahli gabungan) perlulah mereka yang boleh membantu FAM dan bukannya atas dasar kawan.
"Apabila mereka sudah menduduki jawatan itu, mereka perlu memastikan mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu meningkatkan prestasi Harimau Malaya."