Enzo Maresca enggan terlalu tertekan dengan rentak tanpa kemenangan Chelsea apabila menegaskan kemerosotan prestasi barisannya sudah dijangka.

Bekas pengurus Leicester City itu mula mengambil alih tugas di Stamford Bridge pada awal musim ini dan segera mengubah reputasi Chelsea sebagai pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun, selepas tiga perlawanan tanpa kemenangan apabila seri dengan Everton dan tewas kepada Fulham dan Ipswich Town, situasi itu telah meninggalkan The Blues 10 mata di belakang pendahulu, Liverpool, yang juga mempunyai satu perlawanan di dalam tangan.

Chelsea tidak pernah tewas tiga kali berturut-turut dalam kancah liga sejak Mei 2023 dan akan bertandang ke Crystal Palace malam ini.

Mereka masih berada dalam kelompok empat teratas dan Maresca berpuas hati dengan kemajuan anak buahnya yang menduduki tempat keenam musim lalu dan ke-12 tahun sebelumnya.

"Tidak, kami tidak gemar tewas mahupun kehilangan mata, tetapi ia tidak akan menjejaskan perjalanan kami kerana kami semua sedar pada musim ini akan menanggung kekalahan dalam perlawanan," kata pengurus Chelsea itu.





“Kami sudah pun menamatkan bahagian pertama musim ini, kami kini mengharungi bahagian kedua dengan memikirkan kami akan menang dan kalah, tetapi adalah penting untuk memperbaiki prestasi dalam setiap perlawanan.

"Perjalanan ini bermula sejak lima atau enam bulan lalu, bukan lima atau enam tahun sedangkan pasukan lain sudah pun bermula lima atau enam tahun lalu dan kini berjuang untuk memenangi EPL."