Selangor bakal menempuh perjalanan sukar untuk membawa cabaran ke final Piala FA apabila diundi bertemu Negeri Sembilan dalam saingan pusingan 16.

Saingan Piala FA kembali bagi musim 2024-25 sekali lagi menjadi pentas buat pasukan Liga Malaysia untuk mengejar slot beraksi di peringkat Asia.

Tarikan bagi musim kali ini merupakan penyertaan tiga pasukan dari Liga A1 Semi Pro yang bakal memeriahkan saingan Piala FA di samping 13 kelab Liga Super.

Tiga pasukan Liga A1 Semi Pro tersebut adalah Kuala Lumpur Rovers FC, Bukit Tambun FC dan Malaysian University yang diberi peluang untuk berentap menentang jaguh-jaguh dari kancah liga bola sepak tertinggi negara.

Manakala 13 pasukan yang lain terdiri daripada kelab-kelab di Liga Super iaitu JDT, Selangor, Kedah Darul Aman, Sabah, Terengganu, KL City, Sri Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan Darul Naim, Kuching City, Penang dan PDRM.

Selepas undian yang dijalankan sebentar tadi, juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), bakal menerima kunjungan Kelantan Darul Naim ke Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi pertama.

Finalis musim lalu, KL City sekali lagi bertemu Kuching City, selepas mereka telah bertembung dalam aksi Liga Super yang berkesudahan 1-1.

Lagi aksi ulangan perlawanan pertama Liga Super menyaksikan Terengganu bertemu Perak, walaupun tewas 1-3 dalam aksi tersebut, sudah pasti anak buah Yusri Che Lah bakal menghadirkan persembahan yang berbeza.

Paling mencuri tumpuan, Selangor bakal memulakan saingan bertemu Negeri Sembilan sementara perjalanan mereka untuk ke final, skuad Gergasi Merah perlu melewati pasukan utama Liga Super seperti Sabah, Terengganu dan KL City.

Berikut merupakan undian penuh saingan Piala FA:

JDT lawan Kelantan Darul Naim

PDRM lawan MUFT

KEDAH lawan BUKIT TAMBUN FC

SRI PAHANG lawan PENANG

SELANGOR lawan NEGERI SEMBILAN

KL CITY lawan KUCHING CITY

SABAH lawan KL ROVERS

TERENGGANU lawan PERAK