JUVENTUS 1 MILAN 2

Sergio Conceicao menyanjungi keberanian pemain AC Milan yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Juventus 2-1 dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus kelab itu.


Kemenangan mengejut dalam separuh akhir Supercoppa Italiana itu, awal pagi tadi, secara tidak langsung menetapkan pertemuan final mereka dengan seteru kota, Inter, Selasa depan.

Juve mendahului dalam separuh masa pertama menerusi gol Kenan Yildiz sebelum kelebihan itu dipadamkan sepakan penalti Christian Pulisic -- 19 minit sebelum tamat perlawanan dan jaringan sendiri Federico Gatti kembali menghidupkan peluang kemaraan mereka.

Di sebalik tuah jaringan itu, Conceicao gembira dengan apa yang dilihatnya selepas babak pertama yang hambar.

"Untuk persembahan separuh masa kedua, kami layak ke final," katanya kepada SportMediaset.





“Dalam babak pertama, saya lihat Milan mempunyai banyak keraguan sebagaimana beberapa minggu lalu.

"Kemudian saya berpesan kepada mereka ketika waktu rehat.

"Kami perlu memahami apa yang perlu dilakukan untuk menang dan mereka benar-benar berani."