Carlo Ancelotti tidak menolak Real Madrid bersedia menandatangani Trent Alexander-Arnold bulan ini sambil menyatakan dia akan tunggu dan lihat bagaimana pemburuan ini dimuktamadkan.

Desas-desus mengaitkan Alexander-Arnold akan berpindah ke Madrid secara percuma sebaik tempohnya di Liverpool tamat pada musim panas ini, sebaliknya laporan lanjut minggu ini menyatakan bahawa kelab gergasi Sepanyol itu mahu membuat perpindahan itu dimeterai segera.

Hasrat itu didorong oleh situasi pertahanan kanan pilihan pertama Madrid, Dani Carvajal, yang dijangka terlepas sebahagian besar baki kempen akibat kecederaan.

Liverpool dilihat belum bersedia untuk kehilangan salah seorang pemain utama mereka di pertengahan musim tatkala The Reds sedang menerajui puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dan masih bersaing dalam setiap pertandingan piala.

Namun, Ancelotti yang pasukannya merampas takhta LaLiga selepas kemenangan 2-1 ke atas Valencia awal pagi tadi tidak menolak khabar angin tersebut.

Dia berkata: "Sukar untuk saya bercakap tentang hal ini dalam konteks ini. Kita perlu tunggu dan lihat.




"Kami memberi tumpuan kepada semua perlawanan sepanjang bulan ini dan saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diperkatakan. Tidak masuk akal untuk saya bercakap mengenai pasaran sekarang.

"Kami akan lihat apa yang akan berlaku tetapi saya sudah pun mempunyai skuad yang hebat.

"Kami perlu menanggung kecederaan tetapi kami juga mampu mengatasinya."