Sebagai wanita yang kali pertama menjejakkan kaki ke Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, perasaan teruja dan rasa ingin tahu memenuhi diri.

Dari luar, kehebatan stadium yang besar dan moden memberikan gambaran betapa pentingnya sukan hoki di Malaysia.

Deretan bendera pasukan, sorakan peminat, dan suasana penuh warna-warni menjadi sambutan awal yang menyenangkan.

Selain itu, sebagai seseorang yang baru mengenali sukan hoki, saya berasa teruja kerana dapat hadir dan melihat perlawanan persahabatan di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank yang berkesudahan 3-3 semalam.

Sebelum ini, saya hanya pernah melalui kawasan stadium ini dan hanya pernah menghadiri konsert di Axiata Arena serta perlawanan bola sepak di Stadium Bukit Jalil.

Sebaik memasuki Stadium Hoki Nasional, suasana terasa sangat berbeza, mencetuskan semangat yang sukar digambarkan.

Melihat pemain-pemain melakukan pemanasan di atas padang biru yang kemas, saya kagum dengan kemahiran mereka.

Sepanjang perlawanan, mata saya terpaku kepada aksi pantas pemain, pukulan bola yang kuat dan strategi permainan yang jelas dirancang dengan teliti.

Dalam kalangan penonton, seorang penyokong sempat menjelaskan beberapa peraturan asas permainan kepada saya, yang membuatkan saya lebih memahami dan menghargai permainan ini.

Meninggalkan stadium, saya bukan sahaja merasa puas dengan pengalaman baru ini tetapi juga mula menghargai hoki sebagai sukan yang penuh dengan semangat dan daya saing.

Saya sedar bahawa pengalaman ini bukan sekadar menonton perlawanan tetapi juga menyaksikan perpaduan dan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pasti, ini bukan kali terakhir saya datang ke sini. Perlawanan Liga Hoki Malaysia (TNBMHL 2025) untuk tahun depan dijangka berlangsung dari 4 Januari hingga 22 Februari 2025.