Anak-anak Orang Asli memiliki potensi besar dalam bidang sukan, yang boleh dikaitkan dengan persekitaran dan cara hidup mereka. Secara saintifik, kehidupan mereka yang dekat dengan alam semulajadi menjadikan mereka lebih terdedah kepada aktiviti seperti psikomotor semula jadi seperti berburu, memanjat, dan berenang. Aktiviti ini melatih sistem kardiovaskular, membina kekuatan otot, dan meningkatkan daya tahan badan, yang merupakan asas kepada kejayaan dalam pelbagai jenis sukan.

Selain itu, keperluan untuk bergerak pantas,tangkas dan cekap dalam persekitaran semula jadi menjadikan anak-anak Orang Asli memiliki kemahiran motor halus dan kasar yang lebih baik. Kemahiran ini penting dalam sukan seperti larian pecut, memanah, dan mendayung. Dari sudut fisiologi, aktiviti harian ini mengasah keupayaan koordinasi mata dan tangan, keseimbangan, serta refleks, menjadikan mereka mempunyai kelebihan untuk berdaya saing dalam sukan berprestasi tinggi.

Kajian juga menunjukkan bahawa gaya hidup aktif yang melibatkan pergerakan fizikal semula jadi membantu meningkatkan fleksibiliti dan ketahanan otot. Contohnya, aktiviti memanjat pokok atau meniti di kawasan berbatu memerlukan kestabilan, keseimbangan, dan daya tahan otot yang tinggi. Ini memberi kelebihan kepada anak-anak Orang Asli dalam sukan yang memerlukan daya keseimbangan badan yang tinggi seperti gimnastik, memanah, mendayung dan lain lain.

Dari perspektif psikologi, kehidupan mereka yang sering berdepan cabaran persekitaran membentuk daya tahan mental yang tinggi. Sifat ini amat penting dalam sukan kompetitif, yang memerlukan atlet untuk kekal fokus dan tenang dalam tekanan. Anak-anak Orang Asli yang sering terdedah kepada situasi mencabar seperti berburu di hutan, mencari sumber makanan yang ada di hutan, ia sekaligus menunjukkan keupayaan untuk membuat keputusan pantas dan bertindak dengan berkesan, kemahiran yang penting dalam sukan berpasukan seperti bola sepak atau ragbi.
Pendedahan kepada pelbagai jenis sukan moden dan tradisional adalah langkah penting untuk mengenal pasti minat dan bakat anak-anak ini. Dengan memberi peluang kepada mereka mencuba sukan yang berbeza, kita dapat melihat kesesuaian dan kesungguhan mereka terhadap bidang tertentu. Program seperti klinik sukan atau kem latihan asas boleh diperkenalkan untuk memberi mereka pendedahan awal, kenalpasti bakat mereka sekaligus memberi peluang mereka bersaing dalam pemilihan atlet sukan di Malaysia.

Kerjasama dengan institusi pendidikan dan sukan juga penting dalam usaha ini. Program pembangunan bakat boleh dijalankan bersama sekolah atau agensi kerajaan. Sokongan seperti biasiswa atau penyediaan peralatan sukan membantu memastikan anak-anak Orang Asli dapat bersaing secara adil dalam pembangunan bakat sukan di Malaysia. Selain itu, ujian kecergasan fizikal boleh dijalankan untuk mengenal pasti kemampuan dan potensi anak-anak Orang Asli.Pada masa yang sama, elemen budaya mereka harus dihormati dalam menjalankan program ini.

Tuntasnya, penilaian secara berkala perlu dilakukan untuk memastikan program pembangunan bakat berjalan lancar. Pencapaian anak-anak ini perlu diberi pengiktirafan untuk meningkatkan motivasi mereka. Pendekatan holistik ini bukan sahaja mengenal pasti bakat sukan dalam kalangan anak Orang Asli, malah mempromosikan dan memberi penghargaan terhadap warisan budaya mereka. Secara keseluruhannya, potensi anak Orang Asli dalam bidang sukan adalah hasil gabungan kelebihan biologi, fisiologi, dan budaya. Dengan sokongan, bimbingan, dan peluang yang mencukupi, mereka mampu mencapai kejayaan yang lebih besar, sekaligus mengharumkan nama negara di persada dunia.

Penulis:
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah Kanan Sains Sukan UTM
Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM