Kurang sebulan menuju Piala Dunia Hoki Dalam Dewan di Croatia bermula 3 Februari, ketua jurulatih negara, Rodhanizam Mat Radzi ‘turun padang’ memantau tahap kecergasan pemainnya di saingan Liga Hoki Malaysia 2025.

Kehadiran Rodhanizam yang menyaksikan perlawanan Maybank bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta aksi Piala Sumbangsih, Terengganu Hockey Team (THT) menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melihat perkembangan terkini pemainnya.

Pasukan Maybank diperkuat lapan pemain yang turut berada dalam skuad kendalian Rodhanizam.

Atas dasar itu, penilaian terperinci menjadi kunci utama sebelum Rodhanizam menamakan skuad akhir 12 pemain ke Croatia minggu hadapan.

Skuad hoki dalam dewan berlepas ke Austria pada 19 Januari dan dijadual bertemu kelab terkemuka -- Arminen sebelum membuka kempen Piala Dunia.